Monday 3 October 2011

Kehilangan Planet Pluto

Pluto Yang Hilang
Tarikh: Saturday, October 18 @ 10:12:52 MYT
Topik: Utusan Malaysia Online




ARKIB : 14/10/2008
Lapan planet kelilingi matahari?
Oleh w. rahimah draman



BAGAIMANA agaknya keadaan alam maya ini jika tanpa matahari dalam sistem suria di galaksi bima sakti.

Ini kerana kewujudan dan pergerakan planet-planet yang mengelilingi matahari cukup teratur dan patuh mengikut manzilah-manzilah antara satu sama lain tanpa masalah sehingga terlalu sukar untuk digambar dengan kata-kata.

Namun pada 30 Julai 2003 telah dilaporkan bahawa planet Marikh dikesan beredar lebih perlahan dan semakin mendekati bumi sebelum ia terhenti. Ia kemudian diberitakan beredar semula tetapi secara menyongsang.

Fenomena alam itu menyebabkan matahari di Marikh iaitu planet yang turut dikenali sebagai 'Planet Merah', naik dari sebelah barat dan terbenam di sebelah timur.

Ahli astronomi mengistilahnya dengan pergerakan retro great motion. Ia dikesan hasil kecanggihan teknologi dan kemajuan sains oleh pakar astronomi pada September 2005.

Ini bermakna fenomena serupa akan turut terjadi ke atas planet paling hampir dengan Marikh iaitu Bumi, tetapi orang awam tidak mengetahui atau menyedarinya. Itu rumusan para ahli astronomi.
Kemajuan sains juga telah membuktikan peristiwa bulan terbelah dua yang berlaku di zaman Rasulullah SAW, apabila angkasawan Amerika Syarikat melalui Agensi Angkasa Lepas Amerika (NASA) menemui suatu rekahan yang besar dan panjang setelah mereka mendarat dan menyelidiki permukaan bulan satu masa dahulu.

Sedangkan itu telah pun dijelaskan dalam al-Quran dan diberitahu oleh Nabi Muhammad lebih 1,400 tahun lalu sebagaimana firman Allah SWT yang mafhum-Nya: Telah hampir saat (kedatangan hari kiamat) dan terbelahlah bulan. (al-Qamar: 1)

Malah Rasulullah SAW bersabda: Tidak akan berlaku kiamat sehingga matahari terbit dari sebelah barat. Apabila manusia melihatnya, mereka pun beriman. Maka iman ketika itu adalah seperti firman Allah: Tidak berfaedah lagi iman seseorang yang tidak beriman sebelum itu'. (al-An'am: 158). (riwayat Al-Bukhari dan Muslim).

Dalam hadis riwayat Ibnu Majah Rasulullah SAW bersabda: "Tanda pertama muncul (sebagai tanda hampirnya kiamat) ialah matahari terbit dari sebelah barat dan keluarnya binatang ke atas manusia pada waktu dhuha". (rujuk - Himpunan Kuliah Perbandingan Agama, Datuk Dr. Harun Din dalam buku Inilah Akidah Kita).

Jadi bukanlah mengejutkan apabila Profesor Sains Fizik Universiti Malaya, Dr. Mohd. Zambri Zainuddin memberitahu, dalam sistem suria sekarang hanya tinggal lapan planet yang mengelilingi Matahari bukan sembilan sebagaimana sebelumnya.

Malah Fellow Astronomi Diraja London yang juga ahli Kesatuan Astronomi Antarabangsa (IAU) dan penasihat astronomi negara itu berkata, IAU memutuskan untuk menyemak semula takrifan mengenai planet di galaksi bima sakti.

Ini kerana kata Dr. Mohd. Zambri, planet dan bintang sentiasa lahir dan mati di mana Pluto yang terletak paling jauh dari matahari tidak lagi berada dalam kategori planet.

"Pluto telah keluar dari orbitnya dan bersilang serta bertaburan pada orbit-orbit dengan saiz lebih kecil serta berselerakan dalam sistem suria digelar asteroid dan bergabung dengan taburan komet," katanya.

Untuk itu beritahu beliau, melalui kemajuan teknologi dan sains, IAU memutuskan jasad semulajadi kecil di orbit yang mengelilingi matahari (Small solar system bodies) hanya lapan planet iaitu utarid, kejora, bumi, marikh, musytari, zuhal, uranus dan neptun. Bukan sembilan (termasuk Pluto) sebagaimana sebelumnya.
"Ia dibincang, dibahas dan diundi secara terbuka di kalangan pakar astronomi dalam mesyuarat IAU di Prague, Czechoslovakia pada 24 Ogos 2006," jelasnya.

Dr. Mohd. Zambri memberitahu demikian dalam ceramahnya bertajuk Matahari: sistem suria terkini pada Konvensyen Falak Selangor 2008 baru-baru ini.
Asteroid yang bertaburan di orbit dan bertindak memisahkan kedudukan planet-planet yang beredar pada manzilah masing-masing kata beliau, semakin menguasai sistem suria dan ruangan orbit untuk mengancam lain-lain planet terutama bumi.
Menurut Dr. Mohd. Zambri, jika salah satu asteroid yang bertaburan di orbit melewati sempadan memasuki atmosfera dan melanggar bumi, maka satu-satunya planet yang yang dihuni oleh manusia ini akan bergerak merempoh matahari.

"Apabila asteroid melanggar bumi, sudah tentu bumi meluncur bergerak dan merempuh matahari.
"Jika ini berlaku, bermakna terjadilah kiamat sebagaimana yang diberitahu dalam al-Quran," ujarnya.

Laporan terbaru pada 7 Oktober 2008 bagaimanapun menyebut, ahli astronomi dari Harvard menjangka satu ketulan kecil asteroid yang memasuki atmosfera meletup dan terbakar di ruang angkasa yang dapat dilihat benua Afrika.
mengelilingi matahari

Malah kita telah sering didedah dengan kehadiran luncuran ketulan api dari langit yang digelar komet menerjah ruang angkasa menuju permukaan bumi.
Mengikut susunan planet-planet di orbit yang mengelilingi matahari dalam sistem suria yang disenaraikan oleh IAU, bumi berada pada kedudukan ketiga terdekat dengan matahari selepas planet paling hampir, Mercury (Utarid) dan Venus (Kejora).
Kedudukan planet-planet selepas bumi pula adalah Mars (Marikh), Musytari (Jupiter) iaitu planet paling besar, Zuhal (Saturn), Uranus dan Neptun (Neptune) iaitu yang paling jauh dari matahari tetapi telah dilingkungi oleh pecahan pluto yang berselerakan di orbit.

Takrifan planet yang dikemukakan oleh IAU pula ialah jasad samawi dalam orbit yang mengelilingi Matahari dengan kadar jisim untuk graviti yang dapat mengekalkan keseimbangan hidrostatik dan tidak melepasi orbit (manzilah) 'jiran-jirannya'.
Tetapi Pluto yang merupakan 'jasad' paling dingin dikesan keluar dari orbitnya dan berselerakan dalam sistem suria serta telah melepasi planet Musytari (Jupiter) dan sedang menuju ke atmosfera Bumi sejak 'jasad' lebih kecil digelar Ceres ditemui sekitar tahun 1801.

Ceres kata Dr. Mohd Zambri, antara jasad kecil samawi yang dikesan mengelilingi matahari di samping Charon, Eris dan Utarid yang dikenali sebagai planet kerdil dan lebih kecil dari saiz Pluto.
Setiap planet yang sempurna itu menurutnya, masing-masing ada bulan yang mengelilinginya di mana Bumi hanya ada satu bulan tetapi Musytari paling banyak iaitu 65 buah bulan yang melingkungi orbitnya.

Kebanyakan bulan-bulan yang mengelilingi orbit setiap planet itu pula adalah bersaiz lebih besar atau sama saiz dengan Pluto.

Dr. Kassim Bahalli dari Kompleks Falak Al-Khawarizmi Melaka pula berkata, Matahari adalah salah satu daripada kira-kira 200 bilion bintang yang terdapat dalam galaksi Bima Sakti.

"Matahari diulang sebut dalam al-Quran sebanyak 33 kali yang kesemuanya menyentuh mengenai penciptaannya, tujuan dan manfaatnya untuk seluruh makhluk," katanya.

Penciptaan Matahari menurut Imam Al-Ghazali beritahu beliau, untuk mewujudkan penggantian malam dan siang bagi manfaat isi Bumi serta menentukan urusan amal ibadah ummah.

Pensyarah Universiti Darul Iman, Terengganu Baharuddin Zainal pula berkata, dari segi epistemologi, dua suka kata 'mata' dan 'hari' di mana tanpa 'mata' pada manusia dinamakan 'tuna indera' dan tanpa 'mata' pada 'hari' adalah gelap gelita.

"Ini bermakna, hari, tanpa Matahari dapat digambarkan sebagai hari yang sejuk membeku dan gelap gelita," jelasnya.

Malah kata beliau, penggunaan takwim berasaskan musim Matahari dalam aktiviti ekonomi, khususnya pertanian dalam kehidupan alam Melayu peringkat awal dan berterusan kini mengikut kitaran sistem ekologi dan musim yang bersistematik berjaya mengelak masalah pencemaran.

Sementara itu, pegawai Unit Falak Jabatan Mufti Johor, Hanapiah Abdul Razak berkata, mana-mana jisim yang mendapat cahaya Matahari pula bermakna telah menerima 'nur' kerana ia dapat cahaya dan bercahaya.

Menurut beliau, 'nur' itu untuk bulan kerana dia (bulan) mendapat cahaya dari Matahari dan bercahaya sebagai petunjuk (hidayah kepada manusia).

Sementara Matahari adalah memberi atau memancar dan mengeluarkan cahaya yang bersinar untuk menerangi galaksi yang digelar 'dia'k', jelasnya.

Sebab itu tambah Hanapiah, sifat cahaya Matahari (dia'k) dan cahaya bulan (nur) berbeza meskipun sama-sama bercahaya.
Namun seperti tercatat dalam Tafsir Ibnu Katsir (Surah At-Takwir-Juzuk 30) , bahawa apabila matahari, bulan dan bintang-bintang telah lenyap, digulung, dilemparkan, dijatuhkan atau dijungkilkan ke bumi, maka lenyaplah cahaya dan terjadilah kiamat.


No comments:

Post a Comment